19 April 2014

PENYAKIT SINDROM PERNAFASAN ASIA BARAT - VIRUS KORONA (MERS-CoV)




Apa Itu Penyakit Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV)

Apa Itu Penyakit Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) - MERS-CoV adalah singkatan daripada Middle East Respiratory Syndrome - CoronaVirus atau sindrom pernafasan asia barat - Virus Korona. Virus ini mula dikesan pada tahun 2012 dan dikenali sebagai 'novel coronavirus'. Pada Mei 2013 ia ditukar kepada MERS-CoV. Virus ini boleh menyebabkan masalah pernafasan serius dan kegagalan buah pinggang.
   
Kementerian Kesihatan mengingatkan supaya orang ramai jangan dekati unggas dan haiwan, termasuk ladang ternakan unta sepanjang berada di Arab Saudi atau negara yang dikesan berlaku penularan penyakit Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV). 

Peringatan Kementerian Kesihatan kepada jemaah umrah ke Tanah Suci tahun ini berikutan laporan kes penyakit berjangkit itu di Arab Saudi dan Jordan. 


Kawasan berisiko MERS-CoV

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam reaksi segeranya mengarahkan TH Travel tidak membawa jemaah ke kawasan berisiko itu, selain menasihatkan agensi pengembaraan dan pelancongan yang menyediakan pakej umrah lain, mengambil langkah sama. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat ini tidak mengeluarkan sekatan pergerakan berhubung kes jangkitan MERS-CoV yang merekodkan 180 kes disahkan melalui ujian makmal pada peringkat global sejak September 2012, termasuk 77 kematian. 

Seramai 140 rakyat Malaysia yang mengunjungi beberapa negara Asia Barat di antara 31 Oktober hingga kelmarin pula disyaki dijangkiti penyakit itu selepas menunjukkan simptom seperti demam dan batuk berpanjangan serta sesak nafas. 


Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rakyat Malaysia masih dibenarkan menunaikan umrah tetapi dinasihatkan supaya mematuhi garis panduan ditetapkan WHO. 


Tingkat pemantauan


Katanya, semua pusat kesihatan juga diminta meningkatkan pemantauan terhadap pesakit yang mempunyai simptom jangkitan dengan individu yang disyaki atau dijangkiti perlu melakukan pemeriksaan lanjut serta ujian makmal. 

“Mereka yang berisiko tinggi dijangkiti perlu mengelak mendekati haiwan termasuk mengelak ladang atau kandang ternakan tempat virus itu dikesan. 

Beliau mengulas mengenai penularan kes MERS-CoV di Asia Barat dengan kes terkini sejak penghujung Disember lalu menyaksikan dua kematian pada bulan lalu membabitkan seorang pekerja kesihatan berusia 54 tahun dari Riyadh, Arab Saudi dan seorang lelaki berusia 48 tahun dari Jordan. 

WHO ketika ini belum mengeluarkan arahan saringan di pintu masuk, sebaliknya menggalakkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pihak berkenaan yang mengunjungi negara terbabit termasuk jemaah umrah. 

Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika dihubungi berkata keputusan berhubung pergerakan jemaah umrah tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan. 

Bagaimanapun, beliau turut menasihatkan agensi menyediakan pakej umrah menggalakkan pelanggan mereka supaya mengambil vaksin tambahan sebagai langkah berjaga-jaga.

No comments:

Post a Comment

BLOG AMALAN SUNNAH DALAM PdP