Apa Itu Penyakit Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV)
Apa Itu Penyakit Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) - MERS-CoV adalah
singkatan daripada Middle East Respiratory Syndrome - CoronaVirus atau
sindrom pernafasan asia barat - Virus Korona. Virus ini mula dikesan pada tahun
2012 dan dikenali sebagai 'novel coronavirus'. Pada Mei 2013 ia
ditukar kepada MERS-CoV. Virus ini boleh menyebabkan masalah
pernafasan serius dan kegagalan buah pinggang.
Kementerian Kesihatan mengingatkan supaya orang ramai jangan dekati
unggas dan haiwan, termasuk ladang ternakan unta sepanjang berada di Arab Saudi atau
negara yang dikesan berlaku penularan penyakit Sindrom Pernafasan Asia
Barat-Virus Korona (MERS-CoV).
Peringatan Kementerian Kesihatan kepada jemaah umrah ke Tanah Suci tahun ini
berikutan laporan kes penyakit berjangkit itu di Arab Saudi dan Jordan.
Kawasan berisiko MERS-CoV
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam reaksi segeranya mengarahkan TH Travel tidak
membawa jemaah ke kawasan berisiko itu, selain menasihatkan agensi pengembaraan
dan pelancongan yang menyediakan pakej umrah lain, mengambil langkah sama.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat ini tidak mengeluarkan sekatan
pergerakan berhubung kes jangkitan MERS-CoV yang merekodkan 180 kes disahkan
melalui ujian makmal pada peringkat global sejak September 2012, termasuk 77
kematian.
Seramai 140 rakyat Malaysia yang mengunjungi beberapa negara Asia Barat di
antara 31 Oktober hingga kelmarin pula disyaki dijangkiti penyakit itu selepas
menunjukkan simptom seperti demam dan batuk berpanjangan serta sesak
nafas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rakyat
Malaysia masih dibenarkan menunaikan umrah tetapi dinasihatkan supaya mematuhi
garis panduan ditetapkan WHO.
Tingkat pemantauan
Katanya, semua pusat kesihatan juga diminta meningkatkan pemantauan
terhadap pesakit yang mempunyai simptom jangkitan dengan individu yang
disyaki atau dijangkiti perlu melakukan pemeriksaan lanjut serta ujian makmal.
“Mereka yang berisiko tinggi dijangkiti perlu mengelak mendekati haiwan
termasuk mengelak ladang atau kandang ternakan tempat virus itu dikesan.
Beliau mengulas mengenai penularan kes MERS-CoV di Asia Barat dengan kes
terkini sejak penghujung Disember lalu menyaksikan dua kematian pada bulan lalu
membabitkan seorang pekerja kesihatan berusia 54 tahun dari Riyadh, Arab Saudi
dan seorang lelaki berusia 48 tahun dari Jordan.
WHO ketika ini belum mengeluarkan arahan saringan di pintu masuk, sebaliknya
menggalakkan peningkatan kesedaran dalam kalangan pihak berkenaan yang
mengunjungi negara terbabit termasuk jemaah umrah.
Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika dihubungi berkata keputusan
berhubung pergerakan jemaah umrah tertakluk kepada nasihat Kementerian
Kesihatan.
Bagaimanapun, beliau turut menasihatkan agensi menyediakan pakej umrah
menggalakkan pelanggan mereka supaya mengambil vaksin tambahan sebagai langkah
berjaga-jaga.